Sejarah Sekolah

2013-10-27 22.36.15

Pada bulan Jun 1936, sebuah sekolah di Kampung Daro telah ditubuhkan dan didirikan hasil daripada ilham seorang Ketua Kampung Daro bersama-sama anak buahnya. Tuan Haji Sulaiman bin Haji Shawal adalah merupakan pengasas sekolah tersebut.

Terbinanya sekolah ini adalah atas usahasama dan gotong-royong penduduk-penduduk kampung. Seramai 62 orang murid dari beberapa kampung terdekat seperti Tanjung Gir, Teluk Tebaang, Jol Janin, Geligai, dan Kampung Lemang Pek Ulu Daro datang belajar di sekolah tersebut. Guru yang mengajar sekolah di sekolah ini pada ketika itu ialah Cikgu Udin Deraman. Gaji guru adalah hasil biaya ibu bapa murid.

Komuniti sekolah telah bermuafakat dengan sebulat suara memberi nama sekolah tersebut ‘SEKOLAH LAUN’ sempena nama seorang ketua kampung yang pertama di Daro. Lima tahun kemudian masalah mula timbul ekoran dengan tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Pada tahun 1942, Sekolah Laun diambil alih oleh penjajah Jepun. Semasa pentadbiran kerajaan Jepun, Akta Pembelajaran sekolah banyak bertambah. Selain daripada pembelajaran rumi dan jawi, bahasa Jepun turut dipelajari.

Setelah tiga tahun setengah tentera Jepun memerintah negeri Sarawak maka pada bulan Ogos 1945, tentera Jepun menyerah kalah. Ekoran dari itu, sekolah ini terhenti buat sementara waktu.

Pada awal tahun 1946, sekolah ini beroperasi semula dengan masih mengekalkan nama Sekolah Laun Daro. Tenaga pengajar pada ketika itu diketuai oleh Cikgu Lidek serta dibantu oleh anaknya Cikgu Hassan bin Lidek dan seorang guru iaitu Cikgu Abdullah Galau.

Bermula pada 1953, sekolah bersejarah ini telah diambil sepenuhnya oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri pada ketika itu. Nama Sekolah Laun Daro telah ditukar kepada Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) Laun Daro. Guru besar yang pertama dilantik pada ketika itu ialah Cikgu Yusuf Abdul Ghafar (1953-1957) serta dibantu oleh Cikgu Marjuki Nor dari Sibu.

Setelah empat tahun Cikgu Yusuf berkhidmat di sekolah ini, beliau berpindah ke Simanggang (Sri Aman). Ketiadaan beliau diganti oleh Cikgu Wasli Matarif. Beliau merupakan bekas guru besar di SRK Mohammad Redeh Saai.

Dalam tahun 1958, setelah Cikgu Wasli berpindah ke Betong, beliau diganti oleh Cikgu Mohammad Faiz dari Balingian Sibu pada ketika itu. Naumn demikian, pada tahun 1959, Cikgu Mohammad Faiz berpindah pula ke SRK Momammad Redeh Saai dan tempat beliau diganti oleh Cikgu Wan Akil. namun perkhidmatan beliau tidak lama. setahun kemudian Cikgu Wan Akil berpindah ke SRK Ulu Daro.

Pada tahun 1960, dua buah sekolah di Daro, iaitu SRK Laun dan Sekolah Kie Ming (Cina) telah dicantum menjadi sebuah sekolah. Hasil dari gabungan dua buah sekolah itu, nama’ Laun’ telah diketepikan dengan alasan bahawa nama’Laun’ tidak begitu sesuai kerana dari sudut penggunaan dan istilah laun dalam Bahasa Melayu adalah merujuk kepada ‘lambat’ atau ‘lengah’. Lantaran dari itu, Komuniti baru bagi gabungan dua buah sekolah tersebut telah sepakat menggantikan nama asal kedua-dua buah sekolah itu dengan nama ‘Sekolah Camporan Melayu dan Cina Daro’ yang lebih dikenali sebagai ‘Combined Primary School’ dalam Bahasa Inggeris.

Guru besar pertama yang dilantik untuk ‘Combined Primary School’ ialah Encik Thomas Chai iaitu guru berbangsa Cina lepasan dari Maktab Perguruan Batu Lintang Sarawak. Sekolah ‘Combined Primary School’ ini mempunyai dua aliran iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina di bawah satu bumbung. Hal ini menjadikan sekolah ini menjadi sekolah satu-satunya mempunyai dua aliran dalam satu sekolah dan ditadbir oleh seorang guru besar.

Pembangunan mula dirasai di sekolah ini apabila pada tahun 1961, sekolah ini bertukar wajah.Bangunan baru telah siap dibina yang mempunyai 12 bilik darjah dan dua tingkat. Dengan terbinanya bangunan ini, dapatlah menampung bilangan murid yang sentiasa bertambah dari setahun ke setahun. Pembinaan bangunan ini telah menelan belanja sebanyak RM 30,000.00 termasuklah RM 3,000.00 wang hasil sumbangan penduduk tempatan yang inginkan keselesaan anak-anak mereka belajar.(lihat gambar)

Selepas perpindahan En Thomas Chai pada tahun 1963, En Danial Lim telah menggantikan tempat beliau sebagai guru besar. En Thomas Chai juga merupakan Lepasan Maktab Perguruan Batu Lintang Sarawak.

Leave a comment